Monday, April 5, 2010

Blogger Penang sokong kempen Kami Prihatin



PULAU PINANG 4 April - Kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia turut mendapat sokongan seorang penulis blog yang memaparkan logo kempen itu pada blognya.

Penulis blog Minda Intelek Melayu (M.I.M), Dr. Novandri Hasan Basri berkata, beliau memaparkan logo itu pada blognya kerana mahu usaha murni Utusan Malaysia itu diperluaskan lagi di alam siber.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru bloggers lain untuk bersama-sama menjayakan kempen tersebut bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

''Sebagai permulaan, saya menjemput para bloggers dan pengguna facebook, tidak kira yang prokerajaan atau propembangkang untuk bersama-sama menjayakan kempen Kami Prihatin.

''Kita boleh membantu dengan meletakkan logo Kami Prihatin pada blog masing-masing sebagai tanda keprihatinan terhadap isu masyarakat di negara ini," katanya dalam entri blognya di alamat http://novandri.blogs pot.com.

Beliau berpendapat, selain isu politik, para bloggers dan pengguna Facebook juga mempunyai tanggungjawab penting untuk mengetengahkan isu-isu masyarakat seperti penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.

Dr. Novandri juga berharap, mesej Kami Prihatin dapat diperluaskan lagi supaya ia meliputi kesedaran agama kerana ada antara kes buang bayi dan penderaan berlaku disebabkan pegangan agama yang longgar.

''Saya menyasarkan lebih 600 bloggers dan pengguna Facebook akan turut serta dalam kempen peringkat siber ini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment