Thursday, April 22, 2010

Pengerusi PUZ PP : YDPA perkenan Elias Zakaria bukannya Mansor Othman

Ellias kekal Pengerusi PUZ

BUKIT MERTAJAM 21 April - Cadangan kerajaan negeri untuk melantik Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman sebagai Pengerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tuanku Mizan sebaliknya memperkenankan supaya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria memegang jawatan tersebut.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MAIPP yang turut dihadiri wakil Istana Negara di sini baru-baru ini.

Ellias yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

''Ia (cadangan melantik Mansor) sudah diputuskan dan Yang di-Pertuan Agong perkenan jawatan (Pengerusi PUZ) disandang Yang Dipertua MAIPP sehinggalah watikah pelantikan tamat," katanya.

Ellias yang juga bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP berkuat kuasa 1 Januari lalu selepas mendapat perkenan Tuanku Mizan.

Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti sebelum ini mengesahkan cadangan kerajaan negeri untuk melantiknya sebagai Pengerusi PUZ - jawatan yang secara tradisinya disandang oleh Yang Dipertua MAIPP.

Cadangan itu kemudiannya dibantah pelbagai pihak termasuk Badan Perhubungan UMNO negeri yang menyifatkannya bertentangan dengan amalan tadbir urus yang baik.

Malah, Ahli Lembaga Pengarah MAIPP yang bermesyuarat beberapa kali sebelum ini turut menolak cadangan tersebut kerana berpendapat PUZ sepatutnya diuruskan sendiri oleh MAIPP.

Cadangan itu juga tidak dipersetujui penyokong Pas yang turut menganggotai jawatankuasa MAIPP sebaliknya mahu jawatan itu diberikan kepada Ellias atau Timbalannya, Salleh Man yang juga Pesuruhjaya Pas negeri.

PUZ yang ditubuhkan pada 1994 merupakan syarikat milik penuh MAIPP dan dianggarkan memungut kutipan zakat mencecah RM40 juta setahun.

No comments:

Post a Comment