Friday, April 30, 2010

PM ke PP rasmi konvensyen ekonomi 8 Mei

PULAU PINANG 29 April - Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri pada 8 Mei ini.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama sempena konvensyen berkenaan yang diadakan di Politeknik Seberang Perai, dekat sini pada pukul 2.30 petang.

Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad berkata, konvensyen dua hari itu akan mengupas isu kedudukan sosioekonomi serta cabaran-cabaran semasa yang dihadapi orang Melayu di negeri ini.

Menurutnya, resolusi yang dicapai pada konvensyen itu diharap dapat diberi perhatian khusus oleh kerajaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan dibentangkan Jun ini.

''Konvensyen ini diharap menjadi platform untuk menyedarkan orang Melayu Pulau Pinang terutamanya generasi muda mengenai realiti kedudukan mereka khususnya daripada aspek ekonomi.

''Diharap ia dapat membantu mereka dalam mendepani cabaran tetapi pada masa sama mampu merebut peluang untuk meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai bidang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dengan tema 'Menggarap Peluang Dalam Cabaran', hari pertama konvensyen itu mengetengahkan tiga kertas kerja yang menyentuh secara holistik permasalahan orang Melayu Pulau Pinang meliputi aspek ekonomi, politik dan sosial.

Antara yang akan membentangkan kertas kerja itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafique dan Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus.

Selain itu, enam bengkel akan diadakan pada hari kedua konvensyen tersebut yang dijangka menarik 4,000 penyertaan termasuk golongan belia dan usahawan Melayu di Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment